KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-70 baginda di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exco kerajaan negeri.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Zamri Mat Kasim mendahului senarai 208 penerima darjah kebesaran dan pingat pada sesi kali ini dengan menerima Darjah Dato‘ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 11 penerima disusuli 31 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dan 19 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Selain, itu, baginda turut berkenaan mengurniakan 48 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 52 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 34 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 12 penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Pada pengurniaan itu, pelumba berbasikal paralimpik negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri dan penyerang hoki kebangsaan dan negeri Perak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dianugerahkan PJK.
Turut dianugerahkan PJK, pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pemegang rekod kebangsaan acara 400 meter (m) wanita luar dewan Shereen Samson Vallabouy.
Pada 15 November lalu Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak di Istana Iskandariah.
Sultan Nazrin mengurniakan Anis Rizana Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-70 pada 6 November lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sultan Nazrin Kurniakan Darjah Kebesaran, Pingat Kepada 24 Penerima


