IPOH – Rakyat bukan Islam di Perak menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri menambah peruntukan sebanyak RM13 juta menerusi Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) sempena pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Selasa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu bagi menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
“Kerajaan Negeri menambah peruntukan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) kepada RM13 juta, merangkumi RM6.5 juta bagi HEBI Kaum Cina dan Kampung Baru Cina, serta RM6.5 juta bagi HEBI Kaum India, Kampung India dan lain-lain kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyediakan RM250,000 bagi pelaksanaan program pengukuhan integrasi nasional untuk terus menyuburkan persefahaman dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sambut baik Belanjawan 2027, tujuh projek keutamaan diluluskan


