IPOH – Perak menyediakan peruntukan keseluruhan lebih RM7 juta bagi memperkasa usahawan tempatan menerusi pelbagai program pembangunan perniagaan dan bantuan pembiayaan dalam Belanjawan Negeri 2027.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada 37 inisiatif di bawah Lima Titik Sentuhan yang menghimpunkan nilai keseluruhan kira-kira RM260.5 juta bagi meringankan beban kehidupan serta memperluas peluang kepada rakyat negeri ini, termasuk golongan muda.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM4.29 juta disediakan kepada Sekretariat Usahawan Perak (STeP) bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan termasuk Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK dan GeRAK+).
“Program berkenaan menawarkan bantuan perniagaan kepada usahawan yang layak, di samping latihan, bimbingan serta peluasan pasaran (produk mereka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Saarani berkata, selain itu kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1.1 juta bagi Program Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk meningkatkan keupayaan serta daya saing perniagaan.
Jelas beliau, sebanyak RM2 juta turut disediakan menerusi Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan yang diuruskan Yayasan Perak.
“Dana pinjaman pusingan itu bertujuan membantu usahawan mendapatkan pembiayaan (bagi menyokong keperluan perniagaan mereka),” katanya lagi.
Beliau berkata, kesemua inisiatif yang digariskan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membantu rakyat yang menjalankan perniagaan kecil, termasuk peniaga pasar, pengusaha gerai makanan dan pengusaha produk dari rumah. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2027: Usahawan mahu bantuan disalur terus, akses diperluas


