DAP Perak nyata sokong penuh kepada Saarani hingga habis penggal

IPOH – DAP Perak menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad agar meneruskan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal akhir tahun depan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, gabungan Kerajaan Perpadan di Perak berada di landasan tepat selari dengan kestabilan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, momentum pembangunan yang sedang dilaksanakan bersandar kepada tatakelola baik dan kepimpinan berintegriti yang menjadi antara faktor utama kejayaan pentadbiran ketika ini.

“Sekarang bukan masa untuk bermain politik. Selagi Menteri Besar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kita akan berdiri teguh dan bersama beliau sehingga ke penghujung penggal.

“Mereka yang berhasrat mengambil alih kerajaan menerusi cubaan ‘tebuk atap’, boleh menunggu sehingga tamat penggal, akhir 2027,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming ketika sidang media berkenaan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 NOVEMBER 2026.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan tular bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, Kerjasama PH dan BN di Perak membuktikan jumlah lebihan belanjawan yang direkodkan telah mencecah RM195 juta dengan rekod surplus bagi lima tahun berturut-turut.

Jelas beliau, prestasi ekonomi negeri seperti dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2027 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, peningkatan sektor pembuatan sebanyak 15.2 peratus serta kadar pengangguran rendah 3.5 peratus.

“Biar fakta bukan auta untuk bicara. Jangan biarkan prestasi kalah kepada persepsi.

“Prestasi ini membuktikan formula BN dan PH merupakan satu pilihan paling bijaksana demi menjaga kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI