IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan inisiatif baharu Anugerah Mengerjakan Haji khusus kepada imam, bilal, siak serta Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang memenuhi syarat kelayakan sebagai menghargai jasa serta pengorbanan mereka dalam berkhidmat kepada masyarakat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan disediakan dengan peruntukan sebanyak RM474,600 menerusi Titik Sentuhan Kelima: Menghargai Jasa dan Pengorbanan di bawah payung Sentuhan Perak Sejahtera.
Menurutnya, penghargaan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf sumbangan individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan, agama dan kesejahteraan masyarakat.
“Sebanyak RM3 juta pula diperuntukkan bagi meneruskan Program Sumbangan Para Jemaah Haji yang menyediakan bantuan RM1,000 seorang kepada 3,000 jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
“Kerajaan negeri turut menyediakan RM10.08 juta bagi meneruskan pembayaran elaun kepada imam, bilal dan siak di seluruh Perak,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penghargaan turut diberikan kepada warga pendidik apabila elaun bulanan guru Tadika Islam dinaikkan RM200, daripada RM1,200 kepada RM1,400 mulai Januari 2027.
Katanya, elaun penyelia Tadika Islam juga dinaikkan RM100, daripada RM1,500 kepada RM1,600 bagi menghargai komitmen mereka dalam membentuk asas pendidikan dan akhlak anak-anak sejak usia awal.
“Kenaikan elaun itu membabitkan 168 guru dan 12 penyelia dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.05 juta,” ujarnya.
Selain itu, Saarani memaklumkan, kerajaan negeri menyediakan RM1.39 juta bagi pembayaran insentif khas kepada atlet Perak yang berjaya meraih pingat pada temasya SUKMA Selangor 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka mengharumkan nama negeri.
Katanya, setiap sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan berkenaan mempunyai nilai besar kepada negeri dan sewajarnya diberikan penghargaan yang setimpal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


