Mangsa banjir di Selangor, Perak terus berkurangan pagi ini

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak mencatatkan penurunan pagi ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 798 orang daripada 247 keluarga, berbanding 838 orang daripada 256 keluarga semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 735 orang yang berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, diikuti Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (16) dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang (enam).

Di Kuala Selangor, satu PPS masih dibuka, iaitu Sekolah Agama Batu 8 Ijok yang menempatkan 41 mangsa banjir.

Di PERAK, jumlah mangsa yang masih berlindung di tiga PPS di tiga daerah menunjukkan penurunan kepada 189 orang daripada 55 keluarga, berbanding 197 orang daripada 57 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di daerah Manjung kekal dengan 127 mangsa daripada 37 keluarga, manakala mangsa di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak pula berkurang kepada 55 orang daripada 15 keluarga.

Di Larut, Matang dan Selama juga kekal tujuh orang daripada tiga keluarga yang berlindung di SK Batu Hampar.

Difahamkan kebanyakan kawasan yang terjejas akibat banjir genang.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya melaporkan jalan Padang Serai-Beruas masih ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI