Belum ada negara jadi miskin sebab tolong rakyat susah – PM

KUALA LUMPUR – Institusi masjid tidak boleh dipisahkan daripada peranan zakat dalam membela golongan terpinggir dan miskin tanpa mengira kaum serta agama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, merujuk kupasan Syeikh Dr Ali al-Qaradaghi mengenai tindakan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq yang mengisytiharkan perang demi mempertahankan institusi zakat menjadi bukti Islam meletakkan golongan miskin untuk dibela sebagai kestabilan sistem ekonomi dan sosial negara.

“Tiada sebarang catatan dalam sejarah yang merekodkan sesebuah negara menjadi muflis atau runtuh hanya kerana kerajaannya berbelanja besar untuk membela nasib rakyat miskin.

“Sebaliknya keruntuhan sesebuah negara berpunca daripada sikap tamak haloba, kerakusan kuasa, amalan rasuah yang menular serta perbuatan ‘sakau’ dalam kalangan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Projek l Masjid Warisan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Osman Bakar serta Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Prof Ali Muhyiddin al-Qaradaghi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan gimik pada Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di Tapak Projek Masjid Warisan, Lot 1220, Jalan Davis, Kuala Lumpur. Foto AIMAN RIZAL, 27 NOVEMBER 2026.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), projek itu dirancang untuk dilaksanakan di bawah siling peruntukan RM70 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan permulaan RM500,000 bagi 2027.

Berkonsepkan ‘Masjid Dalam Taman’, masjid warisan pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bakal dibangunkan di atas tapak seluas 4.6 ekar dan mampu menampung sehingga 4,500 jemaah pada satu-satu masa.

Kerja-kerja awalan pembinaan masjid berkenaan melibatkan kos sebanyak RM4.1 juta.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegur kebimbangan segelintir pihak kononnya perbelanjaan kerajaan yang mencecah lebih RM70 bilion hingga RM80 bilion menerusi pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar RON95 akan menyebabkan negara menjadi miskin.

Tegas Perdana Menteri, dakwaan itu tidak berasas sebaliknya sesebuah negara akan rosak apabila terdapat budaya tamak haloba, gila kuasa dan amalan sakau serta rasuah.

“Dari zaman purba belum pernah kita baca satu karya pun sejarah di mana sang raja ataupun khalifah, negara itu jadi miskin sebab menolong orang miskin. Tak pernah berlaku.

“Yang negara itu rosak seperti teori Abdul Rahman Ibnu Khaldun adalah kerana kebejatan, tamak haloba, kerakusan kuasa, amalan sakau-menyakau dan rasuah yang menular. Ini yang boleh menyebabkan negara runtuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI