IPOH – Beberapa kawasan di Gugusan Manjoi di sini, dilanda banjir selepas paras air sungai berhampiran dilaporkan melepasi tahap amaran sehingga menyebabkan rumah penduduk dinaiki air, pada petang Jumaat.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, antara wasan terjejas termasuk Jalan Menteri, Kampung Tengku Hussein Lama, Jalan Pemimpin dan Kampung Tengku Hussein Hujung.
Katanya, keadaan banjir membimbangkan apabila beberapa laluan utama turut terputus hubungan akibat ditenggelami air.
“Ada penduduk memaklumkan air sudah naik sehingga paras dada di rumah mereka. Keadaan ini amat membimbangkan,” katanya menerusi hantaran pada laman sosial Facebook, pada Jumaat.
Beliau berkata, ketika ini pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada di lokasi bagi membantu memindahkan penduduk yang terjejas.
Jelas beliau, petugas Pusat Komuniti DUN Manjoi turut berada di kawasan terlibat bagi memantau situasi serta menyelaraskan tindakan susulan bersama agensi berkaitan.
Selain itu, Asmuni turut meminta penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersedia berpindah sekiranya keadaan banjir bertambah buruk atau diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
“Pastikan dokumen penting, ubat-ubatan dan keperluan keluarga disediakan serta sentiasa berhubung dengan jiran, keluarga dan ketua kampung.
“Patuhi arahan pasukan penyelamat dan jangan sesekali meredah jalan yang dinaiki air,” katanya.
Beliau turut meminta penduduk memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat bagi memastikan urusan pemindahan dan bantuan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menerusi video yang dimuat naik pada laman Facebook beliau, ada penduduk yang terjejas mendakwa kejadian banjir mula berlaku sekitar jam 4.30 petang selain ada yang tidak sempat menyelamatkan dokumen penting. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


