IPOH – Kerajaan Negeri Perak menggesa majikan supaya membuat permohonan pengakuan penginapan di bawah Seksyen 24 Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) secara bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pelaksanaan akta ini bertujuan untuk menstruktur semula penginapan pekerja yang sesak, kotor dan tidak selamat dengan perakuan dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, untuk penginapan dari majikan dan penyedia penginapan.
“Melalui sijil perakuan ini, kita dapat mengatasi isu dan masalah penginapan pekerja asing yang tidak kondusif di negeri ini.
“Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, saya lihat Perak lebih baik dalam menyediakan penginapan untuk pekerja.
“Kita juga tidak mendapat aduan yang banyak berhubung isu penginapan di Perak namun jika majikan didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sijil Perakuan Penginapan yang Pertama bagi tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Sivanesan menyampaikan Sijil Perakuan Penginapan kepada 21 majikan di sekitar negeri ini.
Dalam pada itu, melalui akta ini, beliau berkata, masalah gangguan kualiti persekitaran kehidupan masyarakat tempatan secara fizikal dan sosial turut dapat diatasi.
“Kita difahamkan sehingga kini lebih 1,000 tempat tinggal pekerja telah menerima sijil perakuan dan kita akan mengemaskini dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama, kita akan buat pemantauan ke tempat-tempat yang sudah menyediakan penginapan untuk pekerja selain mengadakan ‘spot check’ supaya semuanya berada dalam keadaan baik,” jelasnya.
Sivanesan berkata, pihaknya turut meminta majikan yang mempunyai masalah untuk tampil supaya pihak berkaitan boleh membantu untuk mendengar sekaligus menyelesaikan perkara tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: