TMP 2024: GRG UTP terima pengiktirafan MBOR

SERI ISKANDAR – Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini mengorak langkah kehadapan apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR), pada Khamis.

Pengiktirafan diterima itu bagi pembukaan taman batuan geologi atau Geological Rock Garden (GRG) terbesar serta buku realiti imersif atau realiti maya pertama bagi universiti di negara ini.

Pegawai MBOR, Siti Hajar Johor menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada Naib Canselor UTP, Datu Dr Mohamaed Ibrahim Abdul Mutalib, sambil disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP, pada Khamis.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengadakan lawatan selepas Majlis Pembukaan Rasmi Geological Rock Garden (GRG) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Seri Iskandar, pada Khamis. Foto BERNAMA

Ketika ditemui pemberita, Saarani berkata taman geologi itu merupakan sebahagian daripada destinasi yang boleh dilawati bersempena dengan kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Katanya, beliau berharap GRG UTP akan dapat menjadi nilai tambah kepada institusi berkenaan sesuai dengan konsep yang ditawarkan iaitu ‘Pelancongan Pemulihan dan Pemuliharaan’.

“Pihak UTP juga telah menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan negeri, Perak Tourism bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini.

“Selain itu misalnya, sekiranya datang ke sini dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang ilmu geologi ini, boleh ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.

“Ini secara tidak langsung akan menarik minat orang ramai ke daerah lain seperti di ke Kota Tampan di Lenggong untuk meneroka lebih mendalam pengetahuan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) kepada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di Seri Iskandar, pada Khamis. Foto BERNAMA.

GRG UTP merangkumi kawasan seluas 44,550 meter persegi dengan laluan sepanjang 1.18 kilometer (km) yang meliputi lima tema geologi, merentasi 540 juta tahun hingga ke zaman sekarang di sekeliling tasik UTP.

Lima tema tersebut adalah penciptaan sistem cakerawala dan permulaan dunia, Zaman Paleozoik, Zaman Mesozoik, kepupusan dinosaur serta Zaman Cenozoik.

Dalam pada itu, Saarani mengulas, GRG UTP yang dibuat kepada lawatan orang ramai itu juga mampu memainkan peranan sebagai tempat pembelajaran berasaskan pengalaman atau ‘experiential learning’ bagi penerokaan ilmu sains dan geologi dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pemahaman mendalam terhadap sumber daya geologi dan keunikan alam sekitar sudah tentu dapat membuka pintu kepada pelbagai peluang pembangunan ekonomi yang lestari.

“Pada kesempatan ini, saya menyeru dan menggalakkan sekolah-sekolah di sekitar Perak khususnya dan juga seluruh Malaysia amnya untuk mengadakan lawatan ke GRG di UTP ini.

“Inisiatif ini tidak hanya akan meningkatkan pengetahuan pelajar, tetapi juga memperkukuhkan hubungan di antara institusi pendidikan dan pihak berkepentingan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, geo-pelancongan dan edu-pelancongan di Perak,” ujarnya.

Terdapat 27 koleksi jenis batuan ditempatkan di GRG UTP, dan ia termasuk batuan impak meteorit yang dikenali sebagai suevite, dari Lembah Lenggong.

Melengkapkan pameran geologi itu adalah beberapa replika, termasuk dinosaur yang berukuran sebenar serta mamalia primitif turut ditempatkan bagi memberikan pengunjung pengalaman yang menarik. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kes Covid-19 tidak jejas Tahun Melawat Perak 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI