PUTRAJAYA – Keberanian Uncle Choong menyelamatkan dua wanita yang dihanyut arus deras selepas kereta dinaiki terbabas lalu jatuh ke dalam longkang di Kota Tinggi, Johor diiktiraf JBPM.
Tindakan luar biasa Choo Ngiam Choong yang sanggup mengorbankan nyawanya mendapat tabik hormat Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.
Menurut Nor Hisham, keberanian tinggi lelaki berusia 50-an itu menjadikan Uncle Choong salah seorang wira penyelamat atau layak digelar hero bomba yang menjadi kebanggaan masyarakat.
Dalam Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di sini hari ini, beberapa orang awam yang lain turut mendapat sijil penghargaan atas jasa bakti dan sumbangan yang menonjolkan jati diri serta nilai kebombaan.
Antara yang dinobatkan sebagai wira merah adalah Allahyarham Gillian Donald selepas berjaya menyelamatkan jirannya yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Labuan, Sabah.
Lelaki berusia 41 tahun itu sempat membawa keluar tujuh sekeluarga termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas dengan menggunakan tangga sebelum dia rebah dan meninggal dunia kerana sesak nafas akibat terhidu asap.
“Pengorbanan yang sangat dimuliakan. Tidak dapat ditafsir dengan kata-kata rasa penghargaan saya. Semoga arwah Gillian Donald ditempatkan dalam kalangan mereka yang syahid,” ujar Nor Hisham.
Turut menerima sijil penghargaan ialah Sarjan Mazlan Abdul Rahman dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) selepas berjaya menyelamatkan pasangan yang jatuh ke laut di Jambatan Pulau Pinang, baru-baru ini.
Sementara itu, Nor Hisham ketika ditemui memaklumkan, pihaknya kini menerima cabaran lebih besar apabila negara dijangka berdepan musim kering lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.
Jelasnya, kebakaran seperti itu sukar dipadamkan dan mengambil masa yang lama selain memerlukan kos tinggi.
Susulan itu, JBPM memberi tumpuan kepada tiga kawasan yang menjadi punca kebakaran meliputi kawasan tanah gambut, tempat pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah pihak berkuasa tempatan (PBT). – MalaysiaGazette
Maaf, nak tegur. Bukan Labuan,Sabah
W.P.Labuan.
Belajar sejarah atau geografi ya