IPOH – Sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, disimbah cat merah dan diugut bunuh dipercayai angkara anak lelaki bongsu mereka yang gagal melunaskan pinjaman wang tidak berlesen (ah long).
Mangsa, Chai Yoke Chun, 56, berkata, dia menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang mendakwa anak lelakinya itu mempunyai hutang berjumlah RM1,000 yang masih belum dijelaskan sekitar jam 2.35 petang, Rabu lalu.
Menurutnya, lelaki terbabit turut mengugut akan datang mengunci pintu pagar, menyimbah cat dan membakar rumah sehingga menyebabkan semua penghuni di dalam rumah ‘mati’ sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Pada hari Khamis, lelaki itu menghantar mesej lagi, tetapi saya tidak menjawab. Kemudian, pada Jumaat lalu, lebih kurang jam 4.45 pagi, saya terdengar bunyi bising dan bangun untuk melihat keadaan.
“Kami lihat kereta yang diparkir di hadapan rumah dan lantai telah disimbah cat merah. Kami terus menjerit, tetapi lelaki itu sudah melarikan diri menaiki sebuah kereta,“ katanya ketika ditemui Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, hari ini.
Katanya, pada pagi hari sama, lelaki itu sekali lagi menghantar video yang dirakam di hadapan rumahnya melalui WhatsApp.

“Dia memberitahu saya perlu membayar RM15,000 untuk menyelesaikan semua masalah dan mengugut akan datang semula untuk mengunci pagar rumah serta membakar rumah sekiranya bayaran tidak dibuat,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, wanita terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam pada hari yang sama.
Yoke Chun yang tinggal bersama suami iaitu orang kurang upaya (OKU) dan abang iparnya itu memaklumkan bahawa sudah lama tidak bertemu dengan anak lelakinya selepas kali terakhir dia (anak lelaki) pulang ke rumah pada Tahun Baharu Cina.
Tambahnya, dia tidak mengetahui tujuan anaknya meminjam wang daripada along sekali lagi, memandangkan keluarga mereka sebelum ini pernah melangsaikan hutang along berjumlah RM7,000 yang dipinjam anaknya pada tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri Perak, Mohd Rawi Abdullah, menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap sindiket pinjaman ah long, susulan kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Suami isteri didakwa laku khianat berkaitan ah long


