Aktiviti perikanan haram turun 73.8% sejak 2021

KUALA LUMPUR  – Penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi maritim negara berjaya mengekang aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) apabila jumlah tangkapan vesel penangkapan ikan asing (VNA) mencatatkan penurunan sebanyak 73.8 peratus sejak 2021.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Adnan Hussain berkata, analisis trend menunjukkan tangkapan VNA menurun daripada 126 kes pada 2021 kepada hanya 33 kes pada 2025.

Menurutnya, penurunan konsisten itu membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh pelbagai agensi penguat kuasa maritim negara.

“Hasil kerjasama penguatkuasaan bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan. Daripada jumlah itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan tangkapan, diikuti Pasukan Polis Marin (PPM) sebanyak 53 kes dan DOF sebanyak 19 kes.

“Kehadiran aset penguat kuasa secara berterusan di zon maritim kritikal melebihi 60 batu nautika dari pesisir pantai turut meningkatkan kesan pencegahan terhadap pencerobohan vesel asing ke perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, aktiviti perikanan haram terus menjadi cabaran kepada negara berikutan taktik yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab semakin kompleks dan sukar dikesan.

Katanya, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengelakkan pengesanan, memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat pelesenan tertentu serta pencerobohan vesel pukat tunda komersial ke Zon A.

“Aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin serta sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor ini.

“Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 serta mempererat kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan diurus secara mampan,” katanya.

Tambah beliau, keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang hampir dua kali ganda keluasan daratan negara memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang menyeluruh dan bersepadu melibatkan pelbagai agensi.

Menurutnya, menerusi Op Naga, sebanyak 17 agensi penguatkuasaan termasuk Maritim Malaysia dan PPM digembleng bagi melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan di perairan negara.

Dalam pada itu, beliau mengakui operasi penguatkuasaan sering berdepan cabaran termasuk keadaan laut bergelora ketika monsun Timur Laut dengan ketinggian ombak mencecah lima meter selain tindakan agresif segelintir kru vesel asing yang cuba mengelak daripada ditahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti nelayan, pemain industri perikanan dan orang awam supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan yang mencurigakan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI