KUALA LUMPUR – Polis mendapati sijil nikah anak kepada seorang menteri adalah sah selepas pasangan itu berkahwin di negara jiran pada September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan mendapati mereka bercinta dan ingin berkahwin namun ada halangan.
“Apabila jadi isu macam ini, kawan-kawan mereka pun tidak tahu…jadi mereka tidak mahu memperbesarkan kerana takut keluarga terasa hati.
“Kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan dihantar ke timbalan pendakwa raya di Pulau Pinang di mana masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, Pulapol hari ini.
Sebelum ini, tular di laman sosial kes anak seorang menteri yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu didakwa berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember lalu.
Sebelum ini dilaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah terkait anak menteri itu.
Siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya pada 6 Januari lalu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, anaknya tidak kebal daripada undang-undang dan polis bertanggungjawab menyiasat secara telus dan adil, jika ada laporan dibuat terhadapnya.
Katanya, sekiranya siasatan mendapati ada asas mengaitkan anaknya, Saifuddin mahu undang-undang mengambil tempat. – MalaysiaGazette