Anak penjual kuih penerima Anugerah Tuanku Canselor, USAS

KUALA KANGSAR – Jerih perih seorang wanita menjual kuih-muih bagi membesarkan empat cahaya mata terbayar apabila anak sulungnya, Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, dipilih menerima Anugerah Tuanku Canselor, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16, di sini pada Sabtu.

Bagi Roni Patina Sarani, 50, kejayaan Mohamed Aiedil yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu, merupakan hadiah paling bermakna dan terindah sepanjang hidupnya bergelar sebagai seorang ibu.

Dia yang menjual kuih-muih tradisional sejak Mohamed Aiedil di bangku sekolah lagi berkata, pencapaian anak lelakinya itu merupakan bukti bahawa kesusahan hidup mampu mengubah seseorang menjadi insan yang berjaya di dunia serta akhirat.

Meskipun mereka sekeluarga pernah diuji lapan tahun lalu apabila rumah yang didiami terbakar, dia dan suami terus berusaha bangun memastikan anak-anaknya mendapat pelajaran sempurna.

“Segala hasil titik peluh saya membantu suami membesarkan anak-anak dengan menjual kuih-muih akhirnya terbalas apabila Mohamed Aeidil berjaya dan kami sebagai ibu bapanya tidak henti menerima ucapan taniah.

“Buat ibu di luar sana yang meniaga kuih seperti saya atau apa sahaja pekerjaan yang dilakukan, jangan pernah abaikan pendidikan buat anak-anak kerana dengan ilmulah kita dapat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16, di Dewan Jubli Perak di sini, pada Sabtu.

Anak penjual kuih penerima Anugerah Tuanku Canselor, USAS
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (kepujian) Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 9 DISEMBER 2023.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen itu disamping mengurniakan watikah perlantikan kepada Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi sebagai Pro-Canselor USAS.

Sementara itu, bagi Mohamed Aiedil, kepayahan ibu dan bapanya, Sulaiman Mohd Mansor, 75, membesarkan dia serta tiga lagi adik perempuannya, menjadi pembakar semangat untuk dia berjuang menamatkan pelajaran dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84.

Mohamed Aiediel yang sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dia pernah berputus asa dan hampir berhenti daripada belajar ketika menuntut diperingkat diploma.

Beliau berkata, keputusan itu diambil ekoran kesusahan yang dihadapi keluarganya selain untuk membantu ibu dan bapanya menyara adik-adik yang lain.

“Saya pernah ikat perut empat bulan dengan hanya menjamah mee segera hingga menitiskan air mata kerana ketiadaan wang belanja dan kerana itu saya nekad untuk berhenti belajar dan bekerja.

“Tetapi Alhamdulillah ibu dan bapa saya segera menyedarkan saya bahawa keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang bijak memandangkan hanya dengan ilmu sahaja saya dapat mengubah hidup keluarga kami,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila menerima Anugerah Tuanku Canselor, Mohamed Aiedil berkata, dirinya tidak pernah menyangka bakal diberikan pengiktirafan tertinggi itu memandangkan ramai lagi yang lebih hebat daripadanya.

“Saya masih tidak percaya dengan rezeki yang Allah berikan ini dan mungkin ini adalah salah sebuah penceritaan yang telah tertulis di Luh Mahfzuz selain rezeki yang diberikan Allah untuk menilai saya bersyukur atau tidak,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-16

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI