Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-16

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Sabtu.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Turut hadir pada istiadat konvokesyen ke-16 itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta barisan Exco Kerajaan Negeri Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Istiadat dimulakan dengan bacaan suci ayat-ayat Al-Quran sebelum Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah perlantikan kepada Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi sebagai Pro-Canselor USAS.

Istiadat Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,525 graduan merangkumi ijazah doktor falsafah (PhD) seramai 12 orang, ijazah sarjana (34), diploma pascasiswazah (9), ijazah sarjana muda (778) dan diploma (692).

Dalam istiadat itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada penerima Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Turut disampaikan, Anugerah Menteri Besar Perak kepada Muhammad Asyraf Mohd Zamri (Ijazah Sarjana Muda Usuluddin) dan Anugerah Naib Canselor kepada Aljazira Zainal (Diploma Kaunseling Islami).

Istiadat konvokesyan tahun ini menyaksikan empat graduan menerima anugerah terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial serta Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.

Mereka adalah Luqman Haqim Awang Kecil (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab); Mohamad Syahrul Asad Ab Malik (Diploma Pengajian Islam); Siti Nur Izzati Jumali (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer) dan Nurdania Fatihah Mohd Rohaizan (Diploma Perakaunan).

Sementara itu, Wan Sabri dalam ucapan beliau berkata, istiadat konvokesyen kali ini turut mencatatkan sejarah di mana USAS berjaya melahirkan barisan graduan antrabangsa pertama daripada PhD seramai empat graduan dengan tiga daripadanya dari Uganda dan seorang dari Thailand.

“Manakala di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda pula, kita meraikan graduan pertama Ijazah Sarjana Pengurusan untuk Pembelajaran Jarak Jauh dalam Talian (ODL) serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Pencapaian para graduan ini adalah bukti bahawa ilmu pengetahuan tidak mengenal sempadan dan bakat akademik merentasi pelbagai budaya. Kehadiran mereka memperkayakan pengalaman pelajar USAS dan sebaliknya,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

USAS, Krirk Universiti jalin kerjasama akademik 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI