Anwar bawa suara Malaysia ke pentas dunia, dorong negara lain sokong Palestin

RIYADH – Seperti mana lantangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara tentang isu Palestin Gaza di dalam Malaysia, begitulah juga ‘kuat’ suaranya di pentas dunia.

Matlamatnya – mahu mendorong negara-negara lain turut menyahut gesaannya, supaya dinoktahkan kekejaman Israel.

Perdana Menteri bukan mahu menjadi ‘jagoan’ atau juara dalam isu yang telah berlanjutan lebih tujuh dekad itu, sebaliknya beliau tidak sanggup melihat seorang demi seorang penduduk Palestin tersungkur dimamah bumi akibat kezaliman rejim Zionis.

Sebagai manusia dan umat Islam, beliau tidak mahu anak-anak dan wanita di Gaza terus dizalimi, ditindas dan sengsara akibat perbuatan durjana Israel.

Jika dilihat daripada kenyataan demi kenyataannya berkaitan Palestin, ia kelihatan seperti misi peribadinya dalam memperjuangkan isu itu.

Malah, ketika ditanya apakah ini menjadi misi beliau, Anwar menjawab: “Kita tidak boleh ketepikan atau sisihkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam Malaysia (berhubung isu ini).”

Dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengatur jadual padat untuk bertemu banyak pihak termasuk menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Beliau juga telah menggunakan setiap ruang dan peluang sidang kemuncak itu pada Jumaat, untuk membangkitkan tentang isu Palestin dengan seramai mungkin ketua negara ASEAN, terutamanya yang berjiran dengan Malaysia, serta pemimpin GCC, yang dianggotai Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Pada sidang kemuncak yang dipengerusikan Putera Mahkota Mohammed, semua pemimpin diberikan hanya tiga minit untuk menyampaikan kenyataan negara masing-masing dan Anwar menggunakan peluang itu, untuk menggesa masyarakat antarabangsa supaya menghentikan kekejaman serta sikap hipokrasi terhadap rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh menutup mata terhadap kekejaman itu dan mesti mengambil tindakan untuk menangani punca konflik Palestin-Israel. Tanpa pengecualian, hak asasi manusia perlu dilindungi dan undang-undang antarabangsa harus ditegakkan.

“Rakyat Palestin berhak mendapatkan semula tanah, kediaman dan harta mereka. Mereka harus dibenarkan hidup secara aman serta bermaruah di negara berdaulat, dengan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan perjanjian pra-1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka,” tegasnya.

Bimbang krisis kemanusiaan itu boleh merebak menjadi konflik serantau dan dunia, Anwar mahu semua negara dapat sepakat mencari penyelesaian berkekalan serta adil berhubung konflik itu.

Konflik Palestin-Israel juga dibincangkan Malaysia dengan Liga Muslim Sedunia, semasa Anwar bertemu Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia Sheikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa, pada Jumaat.

Semasa menghadap Putera Mahkota Mohammed yang juga Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al-Yamamah pada Sabtu, baginda turut bersetuju dengan pandangan Anwar bahawa perlu dicari penyelesaian untuk membantu Palestin, selain mempermudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduknya.

Pada sidang media di akhir lawatan beliau, Perdana Menteri memberitahu bahawa Malaysia menyedari dan menjangka akan ada tindak balas dari beberapa negara Barat, berhubung kelantangannya dalam menyuarakan isu Palestin, namun ini tidak menghalangnya untuk terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin di peringkat dunia.

“Ya…(saya tahu) banyak risiko. Saya tidak ada pilihan…,” jelasnya.

Lawatan dua hari Anwar ke Arab Saudi juga menyaksikan, Malaysia dan Arab Saudi mencapai kesepakatan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan membawa kerjasama ekonomi ke tahap baharu, dengan memperbanyakkan jalinan usaha sama merentasi pelbagai bidang termasuk teknologi tinggi, penerbangan dan tenaga hijau.

Berikutan itu, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa peringkat menteri, yang akan akan memantau perkembangan perdagangan, pelaburan dan ekonomi antara kedua-negara serta prospek kerjasama pada masa akan datang.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, mengiringi Perdana Menteri sepanjang lawatan itu.

Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala mencatatkan US$10.26 bilion pada 2022, meningkat 159.2 peratus daripada 2021.

Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.

Aramco telah menyuarakan komitmennya untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

Anwar membincangkan perkara itu pada pertemuan dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco Amin H Nasser.

Menteri Kewangan itu turut menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi Yasir ALRumayyan, bagi membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan dan dana awam itu juga bersetuju mengadakan kerjasama dengan Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Apa yang pasti, lawatan dua hari Anwar ke Riyadh berhasil mengangkat isu Palestin, khususnya selain meningkat kerjasama diplomatik dan membawa pulangan ekonomi untuk negara.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI