Apungkan harga telur, ayam keputusan muktamad – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengapungan harga telur dan ayam yang diumum ketika pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini merupakan keputusan muktamad.

“InsyaAllah ini keputusan tegas dan muktamad,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Menteri Kewangan itu, perubahan keputusan terhadap pemberian subsidi yang dibuat sebelum ini adalah berdasarkan keperluan semasa dan rayuan yang dikemukakan kepadanya selepas peningkatan harga mendadak.

“Soal keputusan ini saya umum masa Belanjawan ia berkenaan keputusan dasar. Perubahan lalu kerana keputusan awal menghentikan subsidi, jadi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan. Bila rayuan sampai kepada saya saya lanjutkan (subsidi).

“Dalam kes sekarang, perkara ini telah dibincangkan berkaitan berapa subsidi bantuan Rahmah boleh ditambah, apa kesan tindakan ini dan beberapa perbincangan, maka setelah difikir  kita umumkan dasar ini. Jadi, saya tidak fikir isu flip flop berbangkit,” katanya lagi.

Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bertanyakan potensi berlakunya flip flop dengan keputusan kerajaan yang baru-baru ini mengapungkan harga telur dan ayam.

Mengulas lanjut, tambah Anwar, subsidi telur dan ayam tidak sepatutnya dirasai oleh 3.5 juta warga asing dan orang kaya yang berkemampuan.

Sebaliknya beliau berkata, ia merupakan dasar demi membantu rakyat yang layak menikmatinya.

“Subsidi kepada dua ini sebelum ini patut dimanfaat kepada rakyat yamg berhak menolak orang yang kaya dan 3.5 juta orang asing.

“Melihat harga pasaran sekarang, harga kurang harga siling macam sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand lebih rendah di Malaysia maka ini masanya untuk kita apungkan,” katanya.

Menurut beliau, KPKM akan mengeluarkan stok bekalan telur dan ayam sebanyak 30 peratus sekiranya diperlukan kelak.

“Selain itu boleh juga beli dari Thailand kerana harga di sana pada masa ini rendah,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur dan ayam melalui keputusan kerajaan tersebut.

“Seandainya ada peniaga ambil kesempatan naikkan harga penguat kuasa dilakukan degan tegas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI