Banjir Perak: Satu PPS dibuka di Hilir Perak, jumlah mangsa terus meningkat

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 1,587 orang daripada 496 keluarga setakat 8 malam tadi dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata, PPS terbaharu itu adalah di Dewan Serbaguna Chikus yang menempatkan 66 mangsa daripada 17 keluarga melibatkan tiga buah kampung.

Menurutnya, pembukaan PPS baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan PPS di lima daerah adalah sebanyak 12 buah.

“Dua lagi PPS di daerah Hilir Perak iaitu Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Dewan Serbaguna Padang Tembak masing-masing menempatkan 145 dan 149 mangsa daripada 42 serta 48 keluarga.

“Daerah Perak Tengah, masih kekal dengan tiga PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang (33 mangsa daripada 11 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sagor (93 mangsa daripada 26 keluarga) dan Sekolah Menengah Sultan Muzafar Shah 1 (87 mangsa daripada 34 keluarga).

“Selain itu, PPS SK Kota Baharu dalam daerah Kampar masih kekal menempatkan 41 mangsa daripada 15 keluarga sejak mula dibuka pada Rabu lalu.

“Manakala, dalam daerah Kerian, dua PPS iaitu di SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai masing-masing menempatkan 35 serta 27 mangsa daripada 11 dan lapan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan daerah Kuala Kangsar masih merekodkan jumlah  mangsa yang tertinggi dengan 911 orang daripada 284 keluarga.

“Kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Lasah, Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan SMK RLKT Lasah, Sungai Siput,” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Rui di Hulu Perak telah melepasi aras amaran sementara dengan catatan 166.54 meter. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Perak terus meningkat

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI