Batu Gajah masih kurang 15,000 orang untuk capai taraf Majlis Perbandaran

BATU GAJAH – Batu Gajah masih tidak boleh dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran kerana populasi penduduk kurang daripada 150,000 orang.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, setakat ini daerah itu hanya mempunyai 135,000 orang penduduk.

Menurutnya, jumlah tersebut dijangka akan bertambah dalam tempoh antara tiga ke lima tahun memandangkan terdapat banyak projek pembangunan perumahan sedang dilaksanakan di sekitar daerah tersebut.

“Bagi mencapai status Majlis Perbandaran, daerah ini perlu mencapai populasi seramai 150,000 penduduk dan sasaran itu mampu dicapai berikutan banyak projek perumahan baharu sedang dibangunkan.

“Apabila projek perumahan terbabit siap dan orang sudah mula menduduki kediaman tersebut, mungkin tempoh antara tiga ke lima tahun kita akan cukup 150,000 orang penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Kempen Batu Gajah Bersih, Hijau dan Indah di Pasar Raya Besar, Econsave di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri dalam perbincangan untuk mengatur perancangan strategik bagi memastikan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu menepati syarat untuk menaik taraf Majlis Daerah di sekitar Perak.

“Bagi tempoh antara tiga ke lima tahun akan datang kita akan pastikan semua PBT dapat menepati syarat melibatkan jumlah populasi dan jumlah pendapatan bagi sesebuah daerah itu supaya boleh dinaik taraf.

“Kita akan jadikan satu kempen untuk menaik taraf Majlis Daerah di seluruh negeri ini dan sudah pasti Batu Gajah salah satu yang dikenal pasti untuk dinaik taraf,” jelasnya.

Pada tahun 2019, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Paul Yong Choo Kiong memaklumkan Batu Gajah bakal di naik taraf menjadi Majlis Perbandaran.

Bagaimanapun, usaha untuk mencapai sasaran populasi 150,000 orang masih belum tercapai sehingga kini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping disambut 20 Januari depan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI