Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping disambut 20 Januari depan

TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan menganjurkan majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping pada 20 Januari tahun depan.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, tarikh itu dipilih sebagai tanda simbolik penubuhan bandar Taiping pada 20 Januari 1874 bersempena tamatnya Perang Larut keempat pada tahun 1873 dan juga Perjanjian Pangkor yang termaktub di antara pihak Inggeris dengan Perak.

Menurutnya, pelancaran program yang bermula jam 8 pagi hingga 12.15 malam itu dijangka akan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Pelbagai pengisian program telah dirancang antaranya Larian Santai lima kilometer, pameran pelancongan, persembahan kebudayaan, perarakan 150 buah motosikal, pameran basikal klasik, pertandingan buskers dan persembahan arris tempatan.

“Turut diadakan gerai jualan dan kenderaan bersaji (food truck) sepanjang program itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai majlis berkenaan di Wisma Perbandaran Taiping pada Khamis.

Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping disambut 20 Januari depan
Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir pada sidang media bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke 150 Bandar Taiping (1874-2024) di Wisma Perbandaran Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 DISEMBER 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Amir berkata, pelbagai aktiviti turut disusun sebagai persiapan awal kepada sambutan ini.

“MPT telah menganjurkan Pertandingan Slogan dan Pertandingan Reka Cipta Logo 150 Tahun dan slogan yang terpilih untuk digunakan sebagai slogan rasmi adalah ‘Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi’.

“Logo yang terpilih pula digunakan sebagai logo rasmi pada dokumen rasmi pihak MPT seperti di kepala surat, poster program agensi di daerah Larut dan Matang sebagai medium promosi Sambutan 150 Tahun Bandar Taiping pada tahun hadapan.

“Antara promosi lain yang dijalankan adalah menerusi cetakan visual Ulang Tahun Ke-150 Tahun Bandar Taiping (1874-2024) pada enam papan iklan milik MPT di Tol Kamunting, Taman Tasik Taiping, kaki Bukit Larut, Jalan Changkat Jering – Kuala Kangsar, jejambat Assam Kumbang (belakang Hospital Taiping) dan Wisma Perbandaran Taiping (digital), “jelasnya

Katanya, gegantung turut dipasang di jalan masuk utama dan seluruh bandar Taiping serta kawasan daerah Larut dan Matang.

“Kalendar acara Sambutan 150 Tahun Bandar Taiping sedang dalam proses cetakan dan dijangka siap pada pertengahan bulan ini serta akan diedarkan kepada entiti pelancongan di Perak dan negeri berhampiran seperti, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Kita juga akan mengedarkan kalendar ini kepada penggiat-pengiat industri pelancongan, pelawat dan pelancong yang berkunjung ke Taiping.

“Kalendar ini mengandungi kira-kira 150 acara di beberapa peringkat iaitu antarabangsa, kebangsaan dan di negeri Perak manakala selebihnya adalah di peringkat komuniti.

“Acara-acara tersebut melibatkan kejohanan larian, sukan dan rekreasi, seni dan kebudayaan, festival, pendidikan dan kesihatan, warisan dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke LHKSN 2023

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI