Bekalan ayam, daging sempena Aidilfitri mencukupi – Exco

IPOH: Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bekalan barangan keperluan seperti ayam, daging dan telur mencukupi sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilftri pada minggu hadapan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ketika ini bekalan adalah stabil dan tiada sebarang laporan diterima berkaitan kekurangan barangan.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak bimbang mengenai bekalan barangan kerana dijamin mampu menampung keperluan pengguna pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Setakat ini memang tidak timbul masalah berkaitan barangan keperluan sama ada bekalan daging, ayam, beras dan minyak dan kami tidak menerima laporan mengenai kekurangan bekalan bagi perayaan minggu hadapan.

“Insya-Allah, kita jamin bekalannya cukup untuk pengguna khususnya umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Taj International College (TIC), Tina Tajuddin di mana sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diedarkan ke 10 lokasi tumpuan orang ramai di sekitar Ipoh.

Sementara itu Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan jualan Agro Madani pra Syawal di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng pada 5 April ini.

Katanya, jualan itu memfokus kepada barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri antaranya beras, kentang, bawang, aneka biskut raya dan kerepak pada harga berpatutan.

Ini disusuli jualan khas Aidilfitri di Lenggong pada 7 April yang antara lain menyediakan hampir 2,500 ekor ayam dijual dengan harga RM10.

“Sebolehnya kita nak adalan jualan sama di semua daerah, namun ada kekangan.

“Insya-ALLAH selepas raya nanti, kita teruskan dengan jualan di peringkat daerah dengan penglibatan pelbagai agensi untuk orang ramai mendapatkan barangan lebih murah dan berkualiti,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bekalan ikan Ramadan, Aidilfitri mencukupi, harga terkawal -LKIM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI