SHAH ALAM – Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di sini menggesa kerajaan mengambil kira bebanan golongan berpendapatan sederhana (M40) dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Jumaat ini.
Penasihatnya, Mohd Dendera Zamzuri berkata, kerajaan boleh menambah baik kebajikan kepada golongan itu dengan memberi pengecualian khas bagi mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.
“Kerajaan boleh menambah baik dari segi pelepasan cukai ini, memfokuskan kepada golongan M40 yang mempunyai isi rumah yang besar.
“Mungkin mereka mempunyai anak-anak yang baru nak melangkah masuk alam persekolahan, mahupun institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Walaupun kebanyakan IPTA tidak mengenakan kos yuran yang tinggi untuk sesuatu pengajian, namun kerajaan boleh membantu dari segi kos pendaftaran masuk dengan memberi pengecualian cukai khas,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata, Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi Madani.
Perdana Menteri berkata, lebih banyak penambahbaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 untuk memastikan pertumbuhan pesat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat secara saksama.
Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” itu adalah belanjawan ketiga digarap Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMKe-13 bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Mohd Dendera, penglibatan syarikat-syarikat kecil yang diterajui golongan M40 juga perlu diambil kira dalam merancakkan ekonomi negara, khususnya pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Saya lihat kerajaan perlu dilihat stabil untuk memastikan FDI atau pelabur langsung asing masuk ke negara kita
“Sekiranya M40 mempunyai syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) atau bertaraf enterprise, mereka mungkin boleh mendapat manfaat daripada pelaburan ini, sekali gus menjana ekonomi setempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette