IPOH – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan memberi tumpuan kepada kelengkapan dan penyediaan peralatan kesiapsiagaan bencana susulan peruntukan RM260 juta yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah keperluan yang akan diberi perhatian bagi meningkatkan keupayaan agensi penyelamat ketika berdepan bencana.
Menurutnya, selain Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memerlukan peralatan berkaitan.

“Jadi, apa yang kita lakukan, kita membantu mereka untuk membeli peralatan itu, dari segi bot umpamanya, ataupun peralatan pam air, ataupun mesin untuk penapisan air ketika tidak ada bekalan air.
“Jadi apa yang kita lakukan, kita membantu mereka untuk membeli peralatan itu. Langkah-langkah proaktif inilah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, pada Ahad.
Program bertemakan ‘MADANI Siaga, Tanggungjawab Bersama’ itu turut dihadiri, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut merancang menambah Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri pada tahun hadapan bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan yang selamat, selesa dan bermaruah ketika bencana berlaku.

Menurut beliau, keutamaan pembinaan pusat berkenaan akan diberikan kepada kawasan yang kerap mengalami banjir serta mencatatkan jumlah mangsa pemindahan yang tinggi.
“Pusat pemindahan kekal ini kita tetapkan dua pusat ditempatkan di satu negeri, tetapi Insya-Allah tahun depan dengan penambahan peruntukan itu kita akan tambahkan mengikut keperluan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkemas penyaluran Bantuan Wang Ihsan bagi membantu mangsa banjir mendapatkan bantuan dengan lebih cepat.
Jelas beliau, bantuan itu kini disalurkan ketika mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS), sekali gus membolehkan mereka menggunakannya untuk membersihkan kediaman serta menggantikan barangan rumah yang terjejas.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM260 juta kepada NADMA bagi persiapan menghadapi bencana pada tahun depan, selain meningkatkan kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Untuk rekod, sebanyak 15 PPKB membabitkan sembilan negeri dijangka mula beroperasi secara berperingkat tahun ini bagi memperkukuh kemudahan perlindungan mangsa bencana. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


