IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM628.65 juta atau hampir separuh daripada keseluruhan Belanjawan Negeri Perak 2025 bagi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM30.22 juta disalurkan bagi program-program kesejahteraan dekat dengan kehidupan rakyat.
Memperincikan perkara itu beliau berkata, RM24 juta diperuntukkan kerajaan negeri kepada inisiatif Kad Perak Sejahtera serta RM5 juta bagi program Bantuan Kotak Makanan.
Kata Saarani, kerajaan negeri juga membelanjakan RM820,000 dan RM400,000 masing-masing bagi program Kedai Bergerak Negeri Perak dan Jualan Rahmah.
“Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, saya mengumumkan, kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan.
“Ia menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Tambah Saarani, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diperuntukkan sebanyak RM45.94 juta peningkatan RM3.14 juta berbanding belanjawan tahun ini.
“Sebahagian besar peruntukan ini dibelanja bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31.0 juta,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: MB Perak sebak sentuh isu perumahan rakyat