KAMPAR – Bagi segelintir orang, rumah pusaka yang sudah menjangkau usia lebih satu abad mungkin dianggap sebagai beban dan cabaran untuk menjaganya, namun berbeza buat bekas pensyarah muzik kolej komuniti, Ruslan Mohd Alifiah, 64.
Minatnya yang mendalam terhadap seni muzik turut menjentik hatinya untuk turut mendalami ilmu seni pertukangan kayu sehingga ia membawa kepada usaha menghidupkan semula rumah pusaka keluarga di Kampung Kota Bharu di sini, yang kini berusia 125 tahun.
Dia yang menetap bersama ibu, Ramlah Abdul Aziz, 85, sejak enam tahun lalu berkata, dia dan keluarga telah membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi membaik pulih serta mencantikkan rumah kayu tradisional berkenaan.

Katanya, kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan hampir sepenuhnya dengan tenaga sendiri termasuk menghasilkan pelbagai elemen hiasan kayu yang menghiasi beberapa ruang dalam rumah.
“Kalau nak diikutkan semua sekali termasuk baik pulih kemudahan asas, penyediaan peralatan dan mesin, kosnya hampir RM45,000, tetapi bukan semuanya wang saya. Sebahagianya adalah sumbangan saudara yang tinggal di Kuala Lumpur, manakala selebihnya daripada saya dan emak.
“Pada awalnya keadaan rumah ini dalam keadaan agak uzur dengan ada bumbung yang bocor dan sebagainya. Saya ambil masa lebih kurang lapan bulan untuk membaik pulih dan mencantikkan rumah ini dengan tenaga sendiri,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada program ziarah sempena Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI JPA di Kampung Kota Bharu di sini, baru- baru ini.

Ruslan berkata, kerja-kerja berkenaan masih lagi berjalan apabila dia merancang untuk menambah sebuah lagi bilik tidur serta melakukan kemasan pada bahagian luar rumah agar ia menyerlahkan lagi keindahan struktur kayu asal kediaman itu.
Mengulas lanjut dia berkata, minat terhadap seni pertukangan kayu bermula pada sekitar tahun 2009 apabila dia berjaya menghasilkan sebuah buaian kayu sebagai projek pertama.
“Selepas itu saya cuba hasilkan meja taman daripada kayu, dan ia berjaya. Semua itu dibuat secara percubaan sebelum saya berani melakukan kerja-kerja kayu yang lebih besar.
“Apabila saya tengok keadaan asal rumah pusaka ini agak lama dan kurang terurus, saya mula terfikir untuk mengolahnya menjadi sesuatu yang lebih menarik dengan gabungan konsep moden dan klasik,” katanya lagi.

Dia juga mengakui bahawa tidak pernah mengikuti sebarang kursus formal dalam bidang pertukangan kayu, sebaliknya kemahiran tersebut dipelajari secara sendiri melalui pemerhatian sendiri dan rujukan dalam talian.
“Seni kayu ini saya belajar sendiri. Saya banyak tengok YouTube untuk belajar teknik dan cara pembuatannya. Dan ada seorang pembuat perabot dari Vietnam yang saya jadikan rujukan (dalam YouTube).
“Daripada situ saya mula belajar dan cuba menghasilkan karya kayu dengan reka bentuk sendiri. Semua yang ada di rumah ini termasuk hiasan kayu dan corak reka bentuk adalah hasil idea saya,” katanya lagi.

Menceritakan tentang latar belakang dalam bidang muzik, Ruslan berkata, dia memulakan kerjaya sebagai tenaga pengajar atau pensyarah muzik di Kolej Komuniti Batu Gajah pada tahun 2011.
Ruslan yang memperoleh Diploma Muzik dari Yamaha Music School Ipoh itu memberitahu, dia turut sering menerima undangan mengajar muzik klasikal di beberapa institusi pendidikan lain di Pasir Salak, Kuala Kangsar dan Taiping.
“Saya bersara pada tahun 2015, tetapi masih aktif mengajar secara sambilan termasuk pernah menerima jemputan mengajar muzik di Universiti Teknologi Petronas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah serta Jabatan Penjara,” katanya.
Ruslan berkata, walaupun telah bersara, minat terhadap muzik masih diteruskan melalui penubuhan kumpulan muzik bersama empat rakan lain yang dikenali sebagai ‘A Beyond Treble Clef’.

Pada program ziarah, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim menyantuni serta menyerahkan daging korban dan bakul makanan kepada Ramlah dan Ruslan.
Terdahulu, Mohd Shaiful turut menyampaikan sumbangan sama kepada Mariam Ahmad, 77, yang tinggal di kampung sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kampung Angkat MADANI: JPA salur RM600,000 bangunkan fasiliti awam kampung



