KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata BKK Aidilfitri sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.
“Maka saya putuskan, Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan kepada Gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred Sistem Saraan Malaysia (SSM) 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.