IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak berharap momentum kemenangan yang diraih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dapat diteruskan sehingga tiba pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, keputusan itu masih tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk mutlak buat BN dalam menghadapi PRU akan datang.
Katanya, ini kerana corak sokongan pengundi sentiasa berubah mengikut keadaan semasa di samping pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi sentimen rakyat.
“Kalau kita ingat pada PRN Melaka pada tahun 2021 dan PRN Johor 2022 telah menyaksikan kemenangan buat BN, namun apabila tiba PRU, keputusannya berbeza.
“Pengundi sentiasa berubah-ubah dan sangat dinamik, sebab itu kemenangan di Johor tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa 1 serta Pelancaran Astana Chemor Fasa 2, di sini, pada Ahad.

Terdahulu Saarani diminta mengulas berkenaan kemenangan berjaya BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada tengah malam tadi.
Media melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan BN memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN berkenaan.
Keputusan itu juga menyaksikan gabungan parti Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi DUN.
Mengulas lanjut Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, walaupun kemenangan itu memberikan suntikan semangat kepada parti, namun BN tetap perlu bekerja keras bagi memastikan keyakinan rakyat terus dipertahankan menjelang PRU16.
“Walaupun kita berterima kasih dan bersyukur, tetapi kita tidak boleh ‘take for granted’ (mengambil mudah) dengan menganggap sokongan ini akan sentiasa berterusan kerana hati manusia (pengundi) boleh berubah-ubah. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti isu harga barang dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Saarani menzahirkan rasa syukur atas kejayaan BN pada PRN Johor serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berjaya menyumbang kepada
“Terima kasih kepada rakyat Johor yang telah keluar mengundi dan tahniah diucapkan kepada semua petugas yang terlibat,” katanya lagi. – MG Perak
Aritkel Berkaitan:
PRN Johor: Zahid jamin kerajaan negeri kekal selari dengan Persekutuan jika BN diberi mandat


