TAPAH – Barisan Nasional (BN) Tapah lebih selesa menggunakan khidmat jentera tempatan bagi mendekati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) April depan.
Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia ekoran pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning lebih mudah didekati akar umbi tempatan.
Bagaimanapun Saravanan yang juga Naib Pengerusi BN Tapah berkata, pihaknya masih mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan kemenangan kerusi N48 berkenaan.
“Kita percaya PRK ini kita akan menang dengan mudah walaupun adanya sokongan daripada DAP dan PKR tetapi saya telah meminta daripada Pengerusi BN supaya guna jentera kita.
“Saya amat mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak dari segi bantuan kewangan dan logistik tetapi dari segi kegunaan jentera kita lebih selesa dan yakin guna jentera tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Semua Masjid dan Surau Kawasan Parlimen Tapah di Dewan UMNO Tapah, di sini, pada Khamis.
Sebanyak 91 surau dan 19 buah masjid menerima sumbangan masing-masing RM500 dan RM1,000 sempena Ramadan yang merupakan program tradisi Saravanan sejak menjadi Ahli Parlimen.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, Tapah merupakan kawasan sensetif di mana penduduk kampung terutamanya mempunyai cara mereka tersendiri dalam menerima orang luar.
“Orang-orang kampung ini cara mereka ‘simple’, tidak perlulah kita heboh-heboh dengan jentera besar dan saya percaya jentera BN di Tapah mampu mendekati mereka.
“Tetapi macam saya katakan kita masih mengalu-alukan bantuan semua pihak tetapi kalau boleh saya minta kita kurangkan pengunaan jentera luar sebab jentera kita sudah cukup,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kerjasama antara BN dan Perikatan Harapan (PH), Saravanan berkata, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya rasa peringkat atas terbaik, peringkat bawah setakat ini tiada masalah tetapi kita belum ada jentera jawatankuasa bersama untuk bergerak dan masih menunggu arahan,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: