BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) tidak akan memilih calon ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya parti berkenaan akan memilih calon daripada senarai pendek yang dikemukakan BN Negeri Perak.
“Kita tidak yakin calon payung terjun dapat membantu Ayer Kuning. Kali ini kita akan pilih calon yang memahami citarasa pengundi-pengundi Ayer Kuning mengikut komposisi kaum di sana.
“Kita juga mahu calon yang dapat memberi kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Allahyarham (Ishsam Shahruddin),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada BN mempertimbangkan calon payun terjun atau tidak bagi PRK berkenaan.
Terdahulu Ahmad Zahid hadir ke Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak Tahun 1446 Hijrah di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, individu yang bakal dipilih bagi mempertahankan kerusi Ayer Kuning merupakan calon yang terdiri daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tapah sendiri.
Jelas beliau, sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, pihaknya menghormati senarai nama yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian dan pimpinan negeri.
“InsyaAllah kita akan pilih daripada senarai yang telah dikemukakan kepada saya iaitu dalam kalangan kepimpinan bahagian itu sendiri.
“Saya harapkan calon ini memenuhi kriteria pengundi Ayer Kuning dan Tapah amnya supaya kita dapat mengulangi kejayaan di beberapa PRK sebelum ini,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: