Dua beradik terima faedah PERKESO selepas ibu maut dalam kemalangan

IPOH – Kehidupan dua beradik yang hilang tempat bergantung selepas ibu mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya Februari lalu terbela apabila layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Nur Qurratul Aini Khairul Anuar, 18, dan adiknya, Nur Arifah Amani Khairul Anuar, 16, masing-masing layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM180 sebulan bagi membantu meringankan beban mereka.

Ibu mereka, Allahyarhamah Faridah Hanum, 52, maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar anaknya ke tempat kerja di kawasan Bandar Botani pada 27 Februari lalu.

Pengarah PERKESO Perak, Anthony Arul Dass berkata, hasil semakan mendapati Faridah merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah menerusi Skim LINDUNG Kasih.

Menurutnya, meskipun tempoh perlindungan Allahyarhamah tamat pada 30 November tahun lalu, pencarum LINDUNG Kasih masih menikmati perlindungan tambahan selama lapan bulan dari tarikh tamat tempoh bagi tuntutan berkaitan keilatan dan kematian.

“Kedua-dua beradik berkenaan layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM180 sebulan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama, mengikut mana yang terdahulu.

“Selain itu, waris Allahyarhamah turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 yang diserahkan kepada anak sulungnya, Mohamad Zulhilmi Khairul Anuar, 29, bagi membantu menampung urusan pengebumian,“ katanya pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, turut menyantuni keluarga berkenaan dalam program Ziarah Prihatin bersama PERKESO di kediaman mereka di Taman Pinji Mewah, di sini.

Kunjungan itu turut disusuli penyerahan bayaran faedah PERKESO dan sumbangan kotak prihatin yang mengandungi barangan keperluan dapur untuk kegunaan keluarga. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Empat pencarum PERKESO Perak terima manfaat LINDUNG 24 Jam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI