Empat pencarum PERKESO Perak terima manfaat LINDUNG 24 Jam

IPOH – Empat pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Perak menerima faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam dalam empat kejadian berasingan yang berlaku di luar waktu bekerja.

PERKESO dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kesemua pencarum layak menerima pelbagai manfaat termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) dan gantian kos rawatan mengikut kelayakan masing-masing.

“Penerima pertama adalah pekerja pembersihan, Nor Izzati Mohd Fazil, 27, yang cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bota pada 4 Jun lalu.

“Beliau mengalami patah tangan kanan serta beberapa kecederaan lain sebelum menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan layak menerima Gantian Belanja Perubatan sebanyak RM2,700 serta FHUS berjumlah RM846,” katanya.

Menurut PERKESO, dalam satu lagi kejadian, seorang operator kilang, Prem Raja Rajaratnam, 24, mengalami patah paha kanan selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta pada 8 Jun lalu.

“PERKESO menanggung kos pembedahan implan bernilai RM1,500 selain menyalurkan FHUS sebanyak RM1,368 kepada pencarum berkenaan.

“Sementara itu, seorang Pengurus Sumber Manusia, Liau Chiew Ling, 60, turut menerima FHUS sebanyak RM90 selepas mengalami kecederaan pada lengan ketika menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

“Seorang lagi pencarum, Muhamad Amin Mustaza, 37, yang bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), menerima FHUS sebanyak RM72 selepas terjatuh dari pokok rambutan ketika bercuti di rumah ibunya di Kamunting,” katanya.

PERKESO turut memaklumkan Skuad PERKESO Prihatin menerusi Program Ziarah Prihatin telah turun padang melawat pencarum yang dirawat di hospital bagi membantu mempercepatkan proses tuntutan dan memberi penerangan mengenai hak mereka.

Menurut PERKESO, keempat-empat kes itu membuktikan risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika dalam perjalanan, menggunakan pengangkutan awam, bercuti atau menjalankan aktiviti bersama keluarga.

Justeru, perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh selama 24 jam penting bagi membantu pencarum menghadapi implikasi kewangan akibat kemalangan yang tidak dijangka.

“PERKESO komited memastikan setiap pencarum yang layak menerima perlindungan, rawatan serta gantian pendapatan yang diperlukan bagi meneruskan kehidupan,” katanya.. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI