Buruh kontrak didakwa dera anak kandung

IPOH – Seorang buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya yang berusia lima tahun dalam kejadian di Taman Bertuah, di sini pada Isnin lalu.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Hasan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun.

Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bertuah, sekitar jam 8 malam, 5 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Muhammad Haiqal Asyraf turut memaklumkan kanak-kanak tersebut kini berada di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jaminan dikurangkan kerana dia perlu menyara isteri serta dua orang anak.

Selain itu, lelaki terbabit hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan serta mempunyai beberapa hutang.

Ainul Shahrin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 27 Mac depan.

Sementara itu difahamkan, kes dera itu sudah dilaporkan kepada polis oleh guru tadika mangsa yang kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk doktor menjalankan pemeriksaan.

Ia selepas guru tadika berkenaan menyedari terdapat kesan lebam atau birat seperti dirotan di tangan kanan mangsa buat kali ketiga di tempat yang sama, selain kesan sama juga ditemui di belakang badan mangsa pada Selasa lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga sekeluarga ditahan bantu siasatan kes kematian kanak-kanak lelaki 2 tahun disyaki didera

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI