IPOH – Sebarang cadangan terhadap pembinaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di mana-mana daerah negeri Perak bergantung kepada aspek ketersediaan tanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang cadangan pembangunan termasuk pembinaan institusi pendidikan itu perlu dibincangkan di peringkat daerah terlebih dahulu menerusi jawatankuasa pembangunan tindakan daerah.
“Cadangan itu harus dibincangkan di peringkat daerah menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan pegawai daerah masing-masing.
“Dan pandangan-pandangan yang diutarakan (dalam hal ini) perlu diambil kira sebagai kaedah untuk merangsang pembangunan kawasan.
“Akan tetapi harus diingat, kena ada tanah. Kalau tanah itu milik kerajaan negeri, ia lebih mudah. Tetapi jika bukan, ia akan melibatkan pengambilan tanah dan kosnya jauh lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Saarani (BN-Kota Tampan) menjelaskan, kerajaan negeri terbuka kepada cadangan pembinaan institusi pendidikan lain sekiranya terdapat ruang dan keperluan, demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh di setiap daerah.
Kata beliau, ini kerana kewujudan institusi pendidikan seperti MRSM, SBP atau mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan setempat.
“Jika kita dapat mewujudkan SBP atau IPT di sesuatu daerah, ia sedikit sebanyak menjadi ‘booster’ kepada pembangunan.
“Ini kerana ia akan menarik kehadiran ibu bapa serta pelajar itu sendiri untuk berbelanja dan secara tidak langsung memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.
S Wasanthee (PH-Hutan Melintang) menerusi soalan lisan meminta repons kerajaan negeri terhadap sebarang perancangan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang agar tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di negeri ini.
Saarani memberitahu, Hutan Melintang termasuk dalam Koridor Perbandaran Negeri, yang menjadi pelengkap kepada pertumbuhan dalam negeri serta Koridor Ekonomi Sempadan Rentas Negeri (KES) Hutan Melintang – Sungai Lang.
Jelas beliau, antara projek berimpak tinggi yang sedang dibangunkan di kawasan itu adalah pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar bernilai RM210 juta.
Beliau berkata, jambatan yang menghubungkan antara Sabak Bernam di Selangor ke Hutan Melintang di Perak dijangka akan membuka pintu ekonomi wilayah selatan negeri ini.
“Kerajaan negeri juga sedang memperkukuh Hutan Melintang sebagai Hab Perikanan Negara melalui KES Hutan Melintang – Sungai Lang dengan projek Kompleks Perikanan LKIM bernilai RM3 juta untuk memodenkan rantaian bekalan hasil laut,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SBP sedia laksana syarat 70 peratus kemasukan dari aliran STEM


