‘Cherita Secangkir Kopi’ himpun peminat, pengusaha kopi

IPOH – Aroma kopi yang segar menggamit pencinta kopi untuk menikmati minuman itu sejurus menjejakkan kaki ke Karnival Kopi Perak: ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, baru-baru ini.

Seramai 35 usahawan kopi di Perak terutamanya di Ipoh serta dari Kelantan dan Terengganu berjaya dikumpulkan pada karnival yang julung kali diadakan di negeri ini.

‘Barista’ yang menyertai karnival ini berpeluang menunjukkan bakat dan aksi menyediakan minuman tersebut mengikut kreativiti masing-masing.

'Cherita Secangkir Kopi' himpun peminat, pengusaha kopi
Urusetia program, Mohd Syafiq Saad, 33, Foto ABDULLAH YUSOF.

Urusetia program, Mohd Syafiq Saad, 33, berkata, karnival yang diadakan hasil usaha Komuniti Jemaah Kopi ini bertujuan untuk menyatukan semua peniaga kopi di Ipoh dan seluruh Perak.

Menurutnya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat menikmati produk yang dijual malah dapat melihat sendiri cara penyediaan, cara menyeduh dan memilih pelbagai jenis bijian kopi.

Selain itu, beliau berkata, tarikan seperti Sekolah Kopi iaitu komuniti yang mendidik orang ramai tentang pengendalian dan cara penyediaan kopi turut diadakan pada hari tersebut.

“Karnival ini adalah acara pertama yang dilaksanakan Komuniti Jemaah Kopi untuk menyatukan semua peniaga kopi di Ipoh seterusnya di Perak untuk meraikan mereka di sini.

“Sebanyak 35 vendor (pengusaha) kopi termasuk beberapa vendor lain seperti makanan dan bundle serta 12 agensi menjayakan karnival ini,” katanya ketika ditemui pada karnival tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Syafiq berkata, bagi menjayakan karnival ini, Sekolah Kopi berbesar hati menyumbangkan dana kepada mereka bagi melancarkan perjalanan program berkenaan.

'Cherita Secangkir Kopi' himpun peminat, pengusaha kopi
Salah seorang peniaga kopi di Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Alhamdulillah, ramai pengunjung datang ke karnival ini termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed yang meluangkan masa singgah ke program kami.

“Justeru, harapan kami supaya dibuka peluang untuk mendapatkan bantuan geran bagi membantu usahawan seperti kami membangunkan pelaburan kopi lokal ini.

“Kami juga berharap acara ini akan dijadikan acara tahunan di Perak supaya kami dapat terus berkarya dengan cara anak muda yang lebih inovasi dan progresif,” ujar Pengasas Ngopdul Coffee itu.

Sementara itu, Pengasas Coklat Kocimelts, Muhammad Nur Asraf Hamdan, 31, yang juga salah seorang peniaga di karnival itu berkata, penganjuran karnival seperti ini secara tidak langsung membantu mereka dapat menambah hasil jualan.

“Kita jangka jam 11 malam baru habis (barangan jualan) tetapi tidak sangka setakat tengah hari tadi jualan saya sudah 80 peratus habis.

Karnival Kopi Perak: Cherita Secangkir Kopi himpun peminat, pengusaha kopi
Pengasas Coklat Kocimelts, Muhammad Nur Asraf Hamdan, 31. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Pengunjung juga sangat ramai dan cuaca Alhamdullilah baik. Kita tahu seminggu memang hujan tetapi mungkin keberkatan acara pada hari ini hujan cuma rintik-rintik sahaja dan sepanjang hari cuaca cantik.

“Sehubungan itu, saya berharap program seperti ini perlu kerap diadakan kerana sedikit sebanyak membantu usahawan.

“Tambahan, ada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan agensi kerajaan berkaitan yang turut serta banyak membantu memberi jalan kepada usahawan yang baru hendak mula naik serta banyak faedah yang kami dapat daripada acara seperti ini,” katanya.

Pengusaha Ngopdul Coffee, Asyrani Aimi Noorafendi, 23. Foto ABDULLAH YUSOF.

Seorang lagi peniaga, Asyrani Aimi Noorafendi, 23, berkata, sepanjang karnival ini berlangsung jualan Ngopdul Coffee amat baik dan memberangsangkan.

“Acara seperti ini memberi pendedahan kepada roastry (pengusaha kopi) untuk orang (pengunjung) mengenali jenama dan berkenalan dengan penggemar kopi itu sendiri.

“Saya berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada tahun berikutnya dan akan disertai lebih banyak jenama kopi lain bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh Malaysia,” ujarnya.

'Cherita Secangkir Kopi' himpun peminat, pengusaha kopi
Orang ramai mengunjungi Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Karnival Kopi Perak: ‘Cherita Secangkir Kopi’ yang diadakan baru-baru ini bukan sahaja terhad kepada gerai jualan tetapi pelbagai acara turut diadakan sepanjang ia berlangsung.

Antara acara yang diadakan termasuklah, skate competition, treasure hunt Cari-Cari Kopi, Pour Over Session, Kopi Talk oleh Sekolah Kopi, brewing competition, coffee roasting session, aktiviti pecah guni dan bidding, latte art show, open mic dan busking.

Manakala, agensi kerajaan yang turut terlibat pada karnival itu termasuklah STeP, Perbadanan Pertumbuhan Pertanian Negeri Perak (SADC), Tekun Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda). – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Laman Perak Sejahtera 2030 produk agro pelancongan baharu

Penggemar Kopi Serbu Ipoh – Karnival Kopi Perak

MGPerak: Cherita Secangkir Kopi Himpun Peminat, Pengusaha Kopi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI