Laman Perak Sejahtera 2030 produk agro pelancongan baharu

BAGAN DATUK – Kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM180,000 bagi membangunkan Laman Perak Sejahtera 2030 di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai salah satu tarikan baharu pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan ini berperanan memfokuskan industri kelapa yang cukup sinonim dengan Bagan Datuk.

Menurutnya, berkonsepkan agro pelancongan, pengunjung akan didedahkan dengan produk berasaskan kelapa dan produk sampingan yang dihasilkan MARDI Bagan Datuk yang turut dikenali sebagai Taman Agroteknologi MARDI@Cocostourism.

Ujar beliau, pendekatan yang digunakan di taman agro teknologi itu berbeza dengan taman-taman agro pelancongan lain yang terdapat di Malaysia iaitu T.I.C.E.R merangkumi Technology (T), Innovation (I), Conservation (C), Edutainment (E) dan Recreation (R) khusus kepada penyelidikan tanaman kelapa dan produk-produk berasaskan kelapa.

“Sesuai dengan peranan MARDI Bagan Datuk yang juga Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kelapa, pembangunan Laman Perak Sejahtera akan menjadi lokasi tumpuan bagi aktiviti agropelancongan dan pembangunan bandar Maritim Wilayah Perak Selatan.

Laman Sejahtera Perak 2030 produk agro pelancongan terbaharu sempena TMP 2024
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar kenangan bersama kanak-kanak Tabika Kemas selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera 2030 di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bagan Datuk sempena Program Turun Padang Cikgu Saarani di sini, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 NOVEMBER 2023

“Antara tarikan utama yang ada di sini termasuklah beberapa demonstrasi antaranya termasuklah pendebungaan berbantu bagi menghasilkan benih kelapa hibrid, inovasi penghasilan kelapa telur mengunakan pisau tanduk, penghasilan minyak kelapa dara (VCO) dan pembuatan Cocopeat dan Cocofiber.

“Selain itu, pengunjung boleh membeli benih kelapa rendah (dwarf) dan kelapa hibrid serta melawat laman ternakan yang menempatkan kambing baka biri-biri jenis Barbados Blackbelly,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada sidang media selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera@MARDI di Taman Agroteknologi Bagan Datuk sempena Program Turun Padang Cikgu Saarani, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob.

Laman Sejahtera Perak 2030 yang mula dibina sejak 11 Julai lalu dan siap sepenuhnya pada bulan ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Ia menawarkan tiga pakej iaitu santai, pembelajaran dan gabungan kedua-dua pakej tersebut.

Harga tiket masuk serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Perak Sejahtera 2030: Ipoh bandar Muzik semarakan kesenian di Perak

MGPerak: Laman Perak Sejahtera 2030@Bagan Datuk tarikan baharu pelancongan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI