TMP 2024: Bagan Datuk kluster ke lima pelancongan di Perak

IPOH – Kerajaan Perak menyenaraikan Bagan Datuk di bawah kluster kelima pelancongan Teluk Intan-Bagan Datuk supaya dapat dipakejkan bersama kemudahan dan produk-produk pelancongan yang lain di sekitarnya.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, melalui pengkelasan kluster ini, ia akan mempelbagaikan tema pelancongan dan membolehkan pelancong menyusun serta memberikan pilihan pelbagai pengalaman.

Menurutnya, selain itu ia akan menjadi salah satu lokasi sasaran tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

“’Tourism Trail’ yang dicadangkan kepada pelancong adalah seperti yang telah dipaparkan dalam Fun Map Pelancongan Bagan Datuk di mana ia boleh diakses dan dimuat turun daripada laman sesawang pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

“Antara lokasi yang dicadangkan adalah Jeti dan Dataran Bagan Datuk; Mural Bagan Datuk; Sky Mirror di Beting Beras Basah; Sunflower Garden dan Kompleks Masjid Tuminah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Isnin.

Tambah beliau lagi langkah berkenaan merupakan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam mempromosikan kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan sempena TMP 2024,” katanya.

Seterusnya, Sze Yee berkata, penglibatan komuniti dalam kedua-dua sektor ekopelancongan (inap desa) dan agropelancongan (tanaman kelapa) amatlah penting seperti mana yang telah berjaya dilaksanakan oleh masyarakat di Bagan Sungai Burung.

“Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi sentiasa bersedia untuk membantu mempromosi dan menjadi pemudah cara bagi mereka yang terlibat dalam industri pelancongan.

“Bagaimanapun, penyediaan blueprint khusus dalam dua aspek sektor pelancongan tersebut perlu dilaksanakan dengan melantik agensi yang bertanggungjawab sebagai penyelaras dan dibantu oleh pihak-pihak yang berkaitan.

“Secara keseluruhannya, Perak mempunyai kekuatan dan kaya dengan produk pelancongan yang bertemakan alam semulajadi serta warisan termasuk produk-produk pelancongan di Bagan Datuk yang menyajikan pengalaman yang berbeza kepada pelancong,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Laman Perak Sejahtera 2030 produk agro pelancongan baharu

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI