Naik taraf Selama kepada daerah penuh

IPOH – Kerajaan Negeri Perak dicadangkan untuk menaik taraf Daerah Kecil Selama kepada daerah penuh dan berharap perkara itu dapat direalisasikan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Selama sudah mempunyai beberapa kemudahan untuk dinaik taraf sebagai daerah penuh seperti hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Menurutnya, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, beliau turut membangkitkan isu yang sama, namun jawapan yang diterima adalah kerana kekangan kewangan.

“Jika dibandingkan dengan Daerah Bagan Datuk sebelum dinaik taraf sebagai daerah penuh, Selama lebih ke hadapan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang telah sedia ada.

“Justeru, perkara ini wajar diberikan perhatian memandangkan kerajaan negeri mempunyai sumber pendapatan yang lalu,” katanya ketika sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini pada Isnin.

Naik taraf Selama kepada daerah penuh
ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin ketika sesi sidang media pada persidangan Mesyuarat Kelima Tahun Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 DISEMBER 2023.

Hadir sama, ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Beliau berkata peruntukan pembangunan yang diterima daripada kerajaan negeri sebelum ini dikongsi di bawah Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang banyak memberi tumpuan kepada Taiping.

“Selama telah diwartakan sebagai daerah penuh sejak tahun 1900, namun belum dilaksanakan. Difahamkan sejak tahun 2021, dua mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah diadakan bagi mengangkat Selama sebagai daerah penuh.

“Tanpa status daerah penuh ia kurang diberi keutamaan untuk dibangunkan dan tiada institusi yang dibina. Antaranya, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang hampir dibina namun akhirnya tidak menjadi kenyataan,” jelasnya yang memaklumkan penduduk di Selama kini mencecah 130,000 orang pada tahun ini. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

TMP 2024: Bagan Datuk kluster ke lima pelancongan di Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI