Perak Sejahtera 2030: Ipoh bandar Muzik semarakan kesenian di Perak

MUZIK bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan malah ia sentiasa ada pada mana-mana acara sama ada berbentuk forum, santai mahupun acara formal.

Meletakkan Ipoh sebagai satu-satunya bandar raya di Semenanjung yang disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori Muzik, merupakan satu pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan.

Sebelum ini ada yang memberikan ejaan I.P.O.H sebagai akronim kepada ‘Ini Pekan Orang Hipster’, dan mungkin selepas ini akan ditukar kepada ‘Ini Pekan Orang ‘Healing’’, dek kerana kerancakkan pembangunan industri muzik di Ibu Negeri Perak itu selepas ini.

Ia secara tidak langsung akan membantu menyemarakkan lagi sektor kesenian di Perak di bawah Program Flagship Ke-10 Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Semarak Warisan di bawah Ekonomi Pengalaman.

Pengurusan agensi kreatif Negeri Perak, People of Remarkable Talents (PORT) berkata, pengiktirafan yang diterima itu bukan sahaja bakal menjadikan nilai tambah kepada Ipoh malah kepada Perak dan Malaysia amnya terhadap industri muzik antarabangsa.

Temubual Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 NOVEMBER 2023.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, ia juga akan menjadi tarikan tambahan terhadap kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Pengiktirafan UCCN oleh UNESCO itu penting kerana ia secara langsung meletakkan Ipoh antara bandar seni muzik yang bakal menjadi tumpuan di peringkat dunia.

“Dalam perkara itu, ia akan melibatkan penganjuran konvensyen seni muzik antarabangsa yang mana akan menghimpunkan pemain-pemain industri di seluruh dunia.

“Sekiranya ia diadakan di Ipoh, maka selain jaringan antarabangsa itu dapat dihubungkan, malah sektor pelancongan ke Ipoh dan Perak amnya akan lebih rancak serta menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, pelbagai usaha gigih dilakukan PORT bersama pelbagai pihak termasuklah sokongan daripada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum ini bagi merealisasikannya.

Ito Blues Gang ketika sedang menyampaikan persembahan pada acara Konsert IMS 2023 baru-baru ini. foto PORT IPOH

Ujar beliau, usaha pengumpulan dan dokumentasi bahan kajian berkaitan seni muzik khususnya di Lembah Kinta yang telah digerakkan sebelum-sebelum ini menjadi antara nilai tambah kepada Ipoh untuk menerima pengiktirafan UCCN itu.

Malah katanya acara tahunan PORT, seperti Simposium Muzik Ipoh juga berjaya menambat hati wakil UNESCO yang pernah berkunjung ke Ipoh sekitar Februari lalu.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin menunjukkan barangan arkib muzik di Koloni Karyawan Aman Jaya PORT Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 NOVEMBER 2023.

“Penilaian oleh UNESCO turut melibatkan dalam soal penyediaan infrastruktur yang mana ia amat berkait rapat kerjasama dengan MBI.

“Misalnya keberadaan amfiteater terbuka di Taman DR Seenivasagam dan beberapa infrastruktur lain yang sedang dibina menjadikan Ipoh sebagai bandar yang mempunyai banyak lokasi bagi penganjuran program berkaitan seni muzik,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ipoh diiktiraf dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI