Ipoh diiktiraf dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO

IPOH – Bandar raya Ipoh kini disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori Muzik.

UNESCO dalam satu kenyataan media mengumumkan 55 buah bandar baharu yang menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO sempena Hari Bandar Sedunia pada Selasa.

Ipoh menjadi antara 16 buah bandar yang disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO bagi kategori muzik selain Banja Luka, Bosnia dan Herzegovina; Bolzano, Itali; Mexicali, Mexico dan Toulouse, Perancis.

Selain muzik, enam bidang kreatif lain di bawah rangkaian ini ialah kraf dan seni rakyat, reka bentuk, filem, sastera, seni media dan gastronomi.

Kejayaan itu menjadikan Ipoh sebagai satu-satunya bandar dalam Malaysia dan ASEAN bagi kategori Muzik yang tersenarai dalam 55 buah bandar baharu selain Chiang Rai, Thailand bagi kategori reka bentuk dan Surakarta, Indonesia bagi kategori kraf dan seni rakyat.

Menurut UNESCO, semua bandar baharu berkenaan akan bekerjasama dengan ahli rangkaian yang lain bagi mengukuhkan daya tahan mereka menghadapi pelbagai ancaman yang semakin berkembang.

Katanya, antara ancaman berkenaan adalah perubahan iklim, ketidaksamaan yang semakin meningkat, serta pembandaran pesat dengan 68 peratus penduduk dunia diunjurkan tinggal di kawasan bandar menjelang 2050.

Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay dalam kenyataan sama berkata, kesemua bandar dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO mendahului dalam mempertingkatkan akses kepada budaya dan merangsang kuasa kreativiti untuk daya tahan dan pembangunan bandar.

Bandar Kreatif yang baru dilantik dijemput untuk mengambil bahagian dalam Persidangan Tahunan UCCN 2024 yang akan belangsung dari 1 hingga 5 Julai 2024 di Braga, Portugal, di bawah tema “membawa belia ke meja untuk dekad yang akan datang”. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Ipoh berpotensi bangunkan industri pembuatan tandas

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI