TELUK INTAN – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel elektrik di sebuah sekolah di kawasan Chenderong Balai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kejadian itu disedari pihak sekolah selepas kabel elektrik yang dipasang di kawasan blok sekolah didapati telah dipotong dan dicuri dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000
Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang lelaki mewakili pihak sekolah membuat laporan polis sekitar jam 12.40 tengah hari, Rabu lalu.
“Berdasarkan hasil siasatan dan risikan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berjaya menahan dua suspek terbabit kira-kira jam 3.30 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek turut membawa kepada rampasan beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Antara barangan yang dirampas ialah peralatan memotong kabel, kabel elektrik dan sebuah kenderaan,” jelasnya.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 17 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Chua menasihatkan pihak sekolah, pemilik premis dan orang awam supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap harta benda dan kemudahan awam, khususnya kabel elektrik serta barangan yang mudah menjadi sasaran pencuri.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis untuk tindakan segera. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


