Dua wanita didakwa tipu pesara hampir RM120,000 urusan tunggakan cukai LHDN

IPOH – Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tiga pertuduhan menipu seorang pesara dalam urusan menyelesaikan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan melibatkan kerugian hampir RM120,000, pada April lalu.

Tertuduh, Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan curang menipu seorang lelaki berusia 60 tahun dengan menawarkan bantuan menyelesaikan tunggakan cukai LHDN yang dalam pengetahuan mereka bahawa bantuan tersebut tidak wujud.

Mereka didakwa dengan curangnya mendorong lelaki tersebut untuk menyerahkan wang berjumlah RM119,196 yang mana dia tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Wisma Hasil di Jalan Tambun Taman Ipoh dalam daerah Kinta sekitar jam 11.02 pagi, pada 10 dan April, serta 4 Jun 2026.

Ketiga-tiga pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun hingga 10 tahun serta dengan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin mencadangkan agar tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 selain dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebulan sekali sehingga prosiding kes selesai.

Peguam yang mewakili Noorfarah Surina, Izzat Fakhri Halimi, memohon agar mahkamah mempertimbangkan wang jaminan minimum kerana anak guamnya perlu menanggung anak berusia 11 tahun dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai penganjur acara.

Beliau berkata, bapa tertuduh juga disahkan menghidapi penyakit kronik hingga memerlukan rawatan dialisis berkala.

Sementara peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili Nurfalah, juga memohon mahkamah menawarkan jaminan kadar sama kerana anak guamnya menghidap penyakit skizofrenia.

Kata beliau, Nurfalah yang juga ibu tunggal kepada dua anak itu menyara hidup dengan wang pencen dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 masing-masing dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan agar mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, di samping menetapkan 24 September sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua pemilik syarikat mengaku tidak bersalah tipu tuntutan Daya Kerjaya PERKESO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI