BATU GAJAH – Empat buah rumah mengalami kerosakan selepas berlaku mendapan tanah dalam kejadian di Lorong Teja Utama, Taman Teja, Tanjung Tualang dekat sini, pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 7.18 malam dan sepasukan anggota serta pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian hanya dua rumah sahaja yang berpenghuni melibatkan pasangan suami isteri dan seorang wanita.
“Insiden itu melibatkan mendapan tanah yang berlaku di hadapan empat buah rumah yang mana dua daripadanya mengalami kerosakan di bahagian garaj manakala dua yang lain sedikit terjejas pada bahagian tepi dan depan rumah.
“Mendapan tanah yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat itu tidak melibatkan struktur rumah dan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketua operasi bertindak melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan Konsep Asas FASTVOIDS dengan mengarahkan anggota membuat pemantauan pada struktur rumah dan menasihati mangsa yang berada di rumah terbabit untuk keluar ke tempat yang selamat.
“Setelah memastikan semua mangsa keluar dan berada di tempat yang selamat, operasi telah diserahkan pada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Tambahnya, pasangan suami isteri terbabit kini tinggal sementara waktu di rumah ibu mereka manakala penghuni wanita yang tinggal berseorangan dinasihatkan untuk masuk ke rumah menggunakan pintu belakang.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.19 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: