GERIK – Wanita Barisan Nasional (BN) Perak siap siaga membantu memenangkan calon gabungan politik itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Wanita BN Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, gerak kerja akan dimulakan terlebih dahulu di Johor sebelum bergerak ke Negeri Sembilan.
Katanya, sebanyak lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam dua kawasan Parlimen akan digempur jentera Wanita BN Perak.
“Macam negeri-negeri lain, untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan, Perak juga tidak ketinggalan untuk turun membantu di PRN negeri terbabit temasuklah jentera wanita negeri.
“Jadi kita akan mengikut perhubungan negeri yang menetapkan dan Perak sendiri untuk negeri Johor kita ditugaskan untuk menjaga dua parlimen dan lima DUN. Jadi jentera Wanita Negeri Perak juga akan turut bersama terlibat,” katanya.
Salbiah yang juga Ketua Wanita UMNO Perak berkata, sekurang-kurangnya 30 orang akan turun membantu jentera pilihan raya BN bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Jelasnya, gerak kerja pilihanraya dijangka lancar memandangkan lokasi yang diberi tanggungjawab sama dengan kawasan sebelum ini.
“Biasanya jentera wanita ini akan lebih kepada membaca sentimen dan kita juga tambah baik dari segi digital iaitu JR (Jalinan Rakyat) Digital. Ini juga yang diumumkan oleh Wanita BN Malaysia menggunakan JR Digital.
“Kita nak melihat persepsi termasuk dari segi untuk membuat bancian sendiri pun kita dah mula menggunakan digital melalui MyJR,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos. -MG Perak


