IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan pelajar menerusi pelaksanaan Gerobok Rezeki 5.0 yang menyediakan sarapan pagi secara percuma pada setiap hari Jumaat sepanjang semester.
Program yang memasuki edisi kelima itu dimulakan semalam dengan pengagihan 100 pek nasi lemak kepada pelajar PUO di dua kampus iaitu 70 pek di Kampus Utama dan selebihnya di Kampus Bercham.
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, pelaksanaan Gerobok Rezeki bukan sekadar program kebajikan, sebaliknya menjadi simbol budaya kepada penyayang yang terus diperkukuhkan dalam kalangan warga kampus.

“PUO bukan sahaja komited melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang cemerlang, malah mahu memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.
“Gerobok Rezeki membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan sikap saling membantu mampu membentuk ekosistem kampus yang lebih sejahtera serta inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan yang diperkenalkan sejak kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 akan diteruskan sehingga Minggu Ke-14 bagi membantu pelajar, khususnya golongan memerlukan.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut memperlihatkan kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

Ujar beliau, pelaksanaan Gerobok Rezeki 5.0 mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk TepiHaus Taman Cempaka, Majlis Belia Perak, Masjid Sultan Azlan Shah, Dellamar Coffee dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Saya berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bekerjasama dengan PUO agar manfaat program ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang.
“Program itu mencerminkan komitmen berterusan PUO dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi Politeknik APEX, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan berteraskan nilai ihsan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PUO dominasi anugerah PDTI 2025, kukuhkan status institusi TVET perdana


