KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi longgokan sampah selepas acara perlawanan akhir Piala Dunia awal pagi tadi.
“Saya percaya rakyat Kuala Lumpur sayang akan bandar ini. Sebab itu saya kecewa apabila Dataran Merdeka, selepas menjadi tempat kita bersorak dan bergembira bersama, ditinggalkan dalam keadaan begini,” katanya dalam kenyataan.

Hannah dalam hantaran media sosialnya turut memuatnaik gambar keadaan Dataran Merdeka hari ini yang dipenuhi sampah dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkannya.
“Terima kasih kepada pasukan DBKL yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka.
“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.
“Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri,” katanya.
Menurut Hannah, hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam.
Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan, katanya.
“Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi acara. Ia sebahagian daripada sejarah negara dan maruah kota kita.
Malaysia MADANI bukan hanya tentang kerajaan yang menunaikan tanggungjawab. Ia juga tentang rakyat yang tahu menuntut hak tetapi tidak lupa melaksanakan perkara asas,” ujarnya.
Seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya, kemajuan bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal tetapi juga melalui sikap kita dalam menghormati dan menjaga ruang awam. – MalaysiaGazette


