IPOH – Isu kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada 12 Februari depan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, menerusi mesyuarat itu diharap pihak serta kementerian yang terlibat dapat menyelesaikan isu tersebut.
Beliau berkata, pihaknya sememang memberi tumpuan selain sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera.
“Memang ada pelbagai masalah dan perkara ini melibatkan banyak kementerian. Ini adalah perkara yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta untuk fokus.
“Sehubungan itu, kita akan lakukan yang terbaik serta berharap dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital @ Perak di Hotel Lost World di di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Perdana Menteri sebelum ini melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan beberapa projek transformasi, antaranya pelaksanaan MyDigital ID, rangkaian 5G kedua dan rundingan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan syarikat telekomunikasi (telco).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun, manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat maklum balas positif daripada DNB dan syarikat telekomunikasi.
Perkara itu disuarakan Anwar sewaktu perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan yang diadakan di Putrajaya pada 5 Disember lalu.
Pada Oktober lalu, ramai rakyat Malaysia merungut kerana ‘gagal’ untuk mendaftar aplikasi MyDigital ID yang diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ.
Malah sistem aplikasi MyDigital ID tergendala dalam tempoh yang lama untuk menyelesaikan proses pendaftaran.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mengumumkan U Mobile telah dipilih sebagai pelaksana Rangkaian Kedua 5G di Malaysia selepas melalui proses tapisan ketat pada 1 November lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MCMC, Digital Perak jalin kerjasama laksana program Ipoh Bandar Pintar
[…] Harap isu kelewatan MyDigital ID selesai dalam masa terdekat – Gobind […]