IPOH – Polis sedang mengemas kini kertas siasatan berhubung dakwaan berunsur fitnah yang dikaitkan dengan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah, 63, susulan penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan tersebut akan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Kertas siasatan itu kita telah hantar kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum ini, namun ada beberapa perkara yang perlu dikemas kini lagi. Antara perkara yang diminta ialah mendapatkan laporan daripada pihak forensik.
“Jadi, kita masih menunggu jawapan forensik sebelum kertas siasatan tersebut dikemukakan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Isnin.
Menurut Mohd Alwi, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kini dilepaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama empat hari.
Terdahulu tular di media sosial TikTok dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum dia ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.
Susulan itu kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis bagi menafikan fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.
Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian ‘Trans Spencer Capman’ di Gunung Batu Putih ditemukan dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.
Dia dilihat dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal oleh penduduk setempat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


