KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) membidas keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak lagi mewajibkan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS).
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Syahnis Salleh berkata, pemansuhan instrumen dasar yang memberi ruang kepada pemilikan Bumiputera tidak seharusnya dibuat tanpa penjelasan mengenai mekanisme gantian bagi memastikan pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera terus diperkukuh.
Menurut beliau, sektor pendidikan bukan sekadar perkhidmatan sosial, sebaliknya merupakan industri strategik yang menjadi sebahagian daripada ekonomi masa depan negara, melibatkan aset, modal, teknologi, kandungan serta penciptaan kekayaan jangka panjang.
“MTEM menuntut Menteri Pendidikan memberikan penjelasan terbuka mengenai asas dan kajian yang membawa kepada keputusan memansuhkan syarat 30 peratus tersebut.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan kesannya terhadap pemilikan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta serta mekanisme baharu yang akan memastikan penyertaan dan pemilikan Bumiputera tidak semakin terhakis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahnis berkata, sekiranya kerajaan berpandangan syarat 30 peratus itu mempunyai kelemahan, mekanismenya wajar diperbaiki dan bukan menghapuskan ruang pemilikan Bumiputera tanpa menyediakan pengganti.
Katanya, MTEM tidak mahu Bumiputera hanya menjadi pengguna dan pekerja dalam industri pendidikan, sedangkan pemilikan aset serta perusahaan pendidikan bernilai tinggi semakin tertumpu kepada pihak lain.
“Kerajaan juga perlu memahami bahawa keyakinan dan sokongan masyarakat Bumiputera bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
“Jika dasar yang dilihat mengurangkan ruang pemilikan Bumiputera terus dilaksanakan tanpa penjelasan dan mekanisme perlindungan yang jelas, sokongan dan keyakinan masyarakat Bumiputera terhadap kerajaan semasa akan semakin terhakis,” katanya.
Sehubungan itu, MTEM menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan perubahan berkenaan sehingga satu mekanisme yang lebih kukuh bagi menjamin pemilikan dan penguasaan Bumiputera diwujudkan.
“Agenda Bumiputera mesti diterjemahkan kepada pemilikan dan penguasaan ekonomi sebenar, bukan sekadar slogan,” katanya. – MalaysiaGazette


