PERANAN institusi agama tidak lagi terbatas kepada pengurusan ibadah dan hal ehwal keagamaan, sebaliknya ia semakin penting dalam membentuk keluarga, pendidikan, masyarakat serta nilai yang menjadi asas kepada kesejahteraan negeri.
Dalam berdepan perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat, termasuk melalui media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI), institusi agama perlu memastikan perkhidmatan yang disediakan kekal relevan, tanpa mengorbankan ketelitian ilmu serta prinsip syariah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, melihat pengajaran daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai asas penting dalam memahami keperluan membangunkan masyarakat secara menyeluruh yang bukan sekadar mengejar kemajuan fizikal semata-mata.

Menyelak lembaran sirah, beliau berkata, masyarakat Madinah bermula dengan pengukuhan institusi masjid yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat ilmu serta ruang umum.
“Hijrah membawa perubahan besar kepada kehidupan umat apabila Rasulullah SAW membina sebuah masyarakat yang tersusun, berilmu dan dipersatukan oleh nilai serta persaudaraan.
“Antara langkah awal ketika Baginda tiba di Madinah ialah membangunkan masjid. Daripada masjid berkembangnya kehidupan masyarakat sebagai tempat ibadah, pusat ilmu, ruang pertemuan dan tempat umat membincangkan urusan bersama.
“Di situlah kita melihat bahawa kemajuan sesebuah masyarakat perlu berdiri di atas kekuatan insan dan nilai yang menjadi pegangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, baru-bari ini.
Peranan institusi agama bentuk generasi masa kini
Mengulas lanjut Saarani berkata, pendekatan itu mempunyai kaitan langsung dengan amanah dipikul JAIPk yang meliputi pengurusan masjid, pendidikan agama, kekeluargaan, dakwah, halal, penguatkuasaan dan pentadbiran.
Skala tanggungjawab berkenaan dapat dilihat menerusi kewujudan 550 masjid kariah di seluruh Perak serta jaringan pendidikan agama yang merangkumi pelbagai institusi daripada tadika hingga sekolah menengah dan pusat tahfiz.

Pada tahun 2025, sebanyak 947 institusi berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan JAIPk dengan keseluruhan 115,983 murid, sekali gus memperlihatkan besarnya peranan institusi agama itu dalam membentuk generasi negeri masa kini.
Menurut Saarani, angka itu bagaimanapun bukan sekadar statistik kerana di sebaliknya terdapat anak-anak yang sedang dibentuk ilmu dan akhlaknya.
“Angka tersebut memberi gambaran tentang besarnya tanggungjawab yang dipikul, tetapi maknanya lebih besar apabila kita melihat manusia di sebaliknya.
“Ada anak-anak yang sedang dibentuk ilmu dan akhlaknya, para pendidik yang membimbing mereka, keluarga yang menaruh harapan serta masyarakat yang mengharapkan institusi agama sentiasa dekat dan mampu membantu ketika diperlukan,” katanya lagi.
Cabaran menjadi lebih kompleks apabila persoalan agama kini boleh tersebar dengan pantas menerusi media sosial, sekali gus membuka ruang kepada penyebaran maklumat tidak tepat sebelum sempat disahkan atau diperbetulkan.
Keadaan itu menjadikan keupayaan institusi agama menyesuaikan pendekatan perkhidmatan dengan perkembangan teknologi sebagai satu keperluan, bukannya lagi pilihan.

Saarani berkata, susulan itu JAIPk sudah mula meneroka penggunaan AI menerusi pendedahan kepada warga pentadbir agama bagi melihat potensinya dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan syariah.
“Antara yang diteroka termasuk pembangunan pembantu maya berteraskan syariah bagi membantu menjawab persoalan hukum asas dengan rujukan yang sahih serta membantu menyaring kandungan media sosial yang menyeleweng sebelum tersebar lebih luas,” jelasnya.
Namun di sebalik perkembangan itu, penggunaan teknologi dalam urusan agama tidak boleh dilihat sebagai pengganti kepada ilmu dan pertimbangan manusia kerana AI hanya berfungsi sebagai alat yang perlu dikawal oleh prinsip, hukum dan kewibawaan ilmu.
“Teknologi boleh membantu kita bekerja dengan lebih pantas dan memperluas capaian perkhidmatan, tetapi kebijaksanaan, amanah dan pertimbangan manusia tetap menjadi asas dalam menentukan manfaat yang akhirnya sampai kepada masyarakat,” kata Saarani.
Hasil pembangunan perlu dirasai rakyat
Keperluan untuk sentiasa memperbaiki cara bekerja turut selari dengan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 yang memasuki tahun keempat, dengan tumpuan kini bukan hanya kepada pencapaian pembangunan tetapi sejauh mana hasilnya benar-benar dirasai rakyat.

Perak merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM91.5 bilion, mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional sebanyak 5.2 peratus.
Saarani berkata, pencapaian itu memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk memperluas manfaat pembangunan, namun ukuran sebenar kejayaan pentadbiran tetap bergantung kepada pengalaman rakyat ketika berurusan dengan institusi kerajaan.
Justeru kata beliau, dalam konteks JAIPk, keyakinan masyarakat tidak hanya dibina melalui dasar atau program berskala besar, sebaliknya turut terbentuk menerusi cara keluarga menerima bimbingan, pendidikan agama diurus, fungsi masjid serta persoalan keagamaan ditangani dengan ilmu dan hikmah.
“Apabila bercakap tentang keyakinan terhadap institusi, kita tidak dapat memisahkannya daripada amanah dan integriti. Begitulah juga integriti dalam perkhidmatan awam.
“Ia terserlah melalui keputusan besar yang dibuat dan juga pada cara kita menggunakan masa, menjaga maklumat, mengendalikan kemudahan kerajaan serta melaksanakan kuasa yang telah diamanahkan,” tambah beliau.

Justeru itu, budaya penambahbaikan dalam organisasi perlu dibina secara bersama dengan pegawai berpengalaman membimbing kakitangan baharu, rakan sekerja membantu memperbaiki kelemahan di samping setiap bahagian bergerak menuju matlamat perkhidmatan yang sama.
Pendekatan itu menunjukkan bahawa transformasi institusi agama bukan semata-mata soal mendigitalkan perkhidmatan atau memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya ia harus membabitkan perubahan cara berfikir, bekerja dan memenuhi amanah kepada masyarakat.
Pada masa sama, kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan kecanggihan sistem semata-mata, tetapi pada keupayaan institusi menterjemahkan perubahan kepada perkhidmatan yang benar-benar memberi manfaat, membina keyakinan dan memperkukuh kesejahteraan rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pembangunan belia ‘tiang seri’ Perak Sejahtera 2030


